Tuesday, October 21, 2008

Sepahit Madu...

Sepahit Madu

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan
suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi
lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi
rupa-rupanya…" Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?"
suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah
yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung
labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih
hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap
Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah
menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan
apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi
tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak
berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah
jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang
tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi
hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon
suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan
agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah
yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan
memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada
dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan
Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik
dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami
erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak
ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke
hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya
sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri
semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak
dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia
terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri â€" sama ada dia
menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri
dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri
sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri
perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah
pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang
dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia
meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat
terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat
baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan
yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang
tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut
mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan
oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin
tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam
gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa
Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar
berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia
yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan
gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang
menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu
dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah
Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke
arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri
dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri
kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding
dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak
hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg
berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari
Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan, " jawab Fikri.

***

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak
kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami)
kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan
perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara
yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada)
berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

[QS al-Taubah 9:24]

Wednesday, October 15, 2008

Lelaki Acuan Al-Quran


Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Seorang Lelaki Yang
Beriman,
Yang Hatinya Disaluti Rasa Taqwa Kepada Allah
SWT,

Yang Sentiasa Haus Dengan Ilmu,
Yang Sentiasa Dahaga Dengan Pahala,
Yang Solatnya Adalah Maruah Dirinya,
Yang Tidak Pernah Takut Berkata Benar,
Yang Tidak Pernah Gentar Untuk Melawan Nafsu,

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menjaga
Tuturkatanya,
Yang Tidak Bermegah Dengan Ilmu Yang
Dimilikinya,
Yang Tidak Bermegah Dengan Harta Dunia Yang
Dicarinya,
Yang Sentiasa Berbuat Kebaikan Kerana
Sifatnya,
Yang Pelindung Yang Mempunyai Ramai
Kawan,
Dan Tidak Mempunyai Musuh Yang
Bersifat Jembalang,

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang
Menghormati Ibubapanya,
Yang Sentiasa Berbakti Kepada Kedua Orang
Tua Dan Keluarga,
Yang Bakal Menjaga Keharmonian
Rumahtangga,
Yang Akan Mendidik Anak-Anak Dan Isteri
Mendalami Agama Islam,
Yang Mengamalkan Hidup Penuh
Kesederhanaan
Kerana Dunia Baginya Adalah Rumah Sementara
Menunggu Akhirat,

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Bersedia Untuk
Agamanya,
Yang Hidup Di Bawah Naungan Al-Quran Dan
Mencontohi Sifat Rasulullah SAW,
Yang Boleh Diajak Berbincang Dan berbicara,
Yang Sujudnya Penuh Kesyukuran Dengan
Rahmat Allah Ke Atasnya,

Lelaki Acuan Al-Quran Tidak Pernah
Membazirkan Masa,
Yang Matanya Kepenatan Kerana Kuat Membaca,
Yang Suaranya Lesu Kerana Penat Mengaji Dan
Berzikir,
Yang Tidurnya Lena Dengan Cahaya Keimanan,
Yang Bangun Subuhnya Penuh Dengan
Kecerdasan,
Kerana Sehari Lagi.....Usianya Bertambah Penuh
Kematangan

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Mengingati Mati,
Yang baginya Hidup Di Dunia Adalah Ladang
Akhirat,
Yang Mana Buah Kehidupan Itu Perlu Dibajai Dan
Dijaga Meneruskan,
Perjuangan Islam Sebelum Hari Kemudian,

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah,
Lelaki Yang Tidak Mudah Terpesona Dengan
Buaian Dunia Kerana Dia Mengimpikan Syurga,
Di Situlah Rumah Impiannya,
Bersama Wanita Acuan Al-Quran.



bersama kita berusaha membina generasi al-qur'an. :)

Monday, October 6, 2008

Kisah Cawan

Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan.

Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu," kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pe nah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara,

"Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, 'Belum !' Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum. Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ' Belum !' Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku" kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya.

Pengajaran:

Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi 'cantik'.

Jangan lupa bahawa cobaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat).

WAllahu a'lam

*Bukan sumber persendirian......

Berlalunya Ramadhan

Hari isnin, bermula semula kuliah setelah seminggu bercuti sempena hari raya aidilfitri yang mulia. Moga berlalunya ramadhan kali ni dirindui oleh setiap insan yang bergelar mukmin kerana bulan ini adalah bulan yang ditangisi pemergiannya oleh para sahabat. Di bulan inilah terdapatnya satu malam yang mana ia lebih baik dari seribu bulan iaitu Lailatul Qadar. Di bulan ini juga peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah dengan memperbanyakkan amal ibadah. Di bulan juga peluang untuk mentarbiyyah diri, mengislahkan diri untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Moga 3 fasa yang terdapat didalam bulan ini dimanfaatkan sepenuhnya iaitu awalnya fasa rahmat, moga kita mendapat segala rahmat yang diturunkan pada fasa pertama tersebut. Pertengahannya pula merupakan fasa pengampunan, moga dengan rahmat yang kita perolehi daripada Allah segala dosa-dosa kita yang lalu diampunkanNya. Kerana hanya dengan rahmatNya lah sama ada kita ditempatkan ditempat orang-orang yang beriman ataupun sebaliknya. Seterusnya dipengakhiran ramadhan ialah dijauhkan daripada api neraka, moga dengan pengampunan yang Allah kurniakan, kita dijauhkan daripada api nerakaNya. Begitulah perkaitan diantara 3 fasa ramadhan yang Allah sediakan bagi hamba-hambaNya yang betul-betul mengambil manfaat.

Kita doakan agar kita sentiasa istiqamah dengan amalan-amalan yang kita dah lakukan dan kita didik pada diri kita sepanjang bulan ramadhan yang mana dulunya kurang membaca al-quran tapi kali istiqamah membacanya. InsyaAllah.

Sekarang dah masuk hari ke-6 syawal. Satu lagi amalan yang mana bila kita lakukannya seumpama berpuasa sepanjang tahun iaitu puasa 6 di bulan syawal. Marilah kita sama-sama mengambil peluang yang telah Allah sediakan bagi umat Nabi Muhammad yang sangat beruntung ini. Nabi Musa sendiri menyatakan kalau diberikan peluang, baginda ingin menjadi umat Nabi Muhammad sewaktu Nabi kita diisrak dan mikrajkan. Kerana umat Nabi Muhammad diberikan dengan pelbagai kelebihan. Kita patut bersyukur menjadi umat yang beruntung ini. Moga-moga kita mengambil dan memanfaat segala peluang yang telah disediakan untuk kita. Allah tak memerlukan kita pun, tetapi kita insan yang lemah inilah yang memerlukanNya.

Rasanya cukuplah sekadar ini sahaja dulu coretan penulis. Maaf kalau ada kekurangan dan kelemahan dalam coretan kali ini. Semua yang yang buruk itu datang dari Allah atas kelemahan yang ada pada diri penulis dan segala yang baik itu datang dari Allah, moga-moga ia menjadi peringatan dan iktibar.

Sekian, wassalam..