Thursday, June 25, 2009

HIJRAH........THE JOURNEY OF IMAN.


Penghijrahan Malek Noor

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

muzlina.bakar@ utusan.com. my


SETELAH lebih 10 tahun tidak berjumpa dengan Malek Noor, 53, ternyata jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali ini amat berbeza daripada dulu.


Kalau dulu, apabila berjumpa mulutnya becok tak henti-henti bercakap pelbagai topik yang melucukan. Tetapi pertemuan minggu lalu menampakkan sisi lain Malek.


Sifat lucu dan becoknya hilang tiba-tiba dan yang nyata Malek hari ini tidak sama dengan Malek ketika baru berlakon filem Ujang pada akhir tahun 1980-an.


Perbualan petang itu berkisar tentang aktivitinya hari ini. Selain menjalankan perniagaan membekal barangan fitness di bawah syarikatnya Sportec's Divemate Sdn. Bhd. Malek juga berlakon dan kini sedang menjalani penggambaran drama Damak dengan memegang watak Tok Guru.


Perbualan yang rancak petang itu, tiba-tiba menjadi hening seketika apabila Malek membuka rahsia hidupnya yang selama ini dipendam tanpa pengetahuan sesiapa.


"Dalam hidup saya hari ini, sebenarnya saya hanya mencari satu sahaja iaitu keredaan Allah. Walau apa juga yang saya lakukan untuk hidup, kejujuran adalah penting.


"Setiap waktu dan ketika saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga menerima ibadat saya, ampunkan dosa saya dan semoga Allah tetapkan iman saya dan menjadikan saya manusia yang soleh," kata Malek dengan suara sebak.


Siapa sangka, seorang jaguh bina badan yang nampak gagah dan perkasa tiba-tiba menjadi seorang yang boleh dikatakan 'lembik' tiba-tiba.


Di satu sudut ruang coffee house di sebuah hotel di pinggir kota , Malek yang mulanya bersemangat tiba-tiba menangis menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini.


Dengan suara sebak dan mata berkaca, Malek Noor bercerita:


"Saya terlalu banyak buat dosa.. Saya betul-betul insaf sekarang. Setiap saat dan ketika sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya..


"Dulu saya jahat. Saya tidak ingat mati tapi...kini saya betul-betul insaf.. Kini setiap waktu walau sesibuk mana pun saya akan hadkan sekurang-kurangya 10 minit untuk menunaikan solat.


"Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram. Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya takut, saya taubat dan saya menyesal.


"Andai waktu boleh berputar, saya ingin kembali zaman kanak-kanak. menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati," luahnya.


Zaman kanak-kanak


Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika zaman kanak-kanak lagi Malek merupakan anak yang susah hendak berpuasa. Kalau berpuasa pun cuma di depan keluarga. Di belakang, Malek curi-curi makan dan minum. Tetapi itu di zaman kanak-kanak, apa yang dibuat mungkin manis didengar.


Bukan itu sahaja, malah sejak berusia 12 tahun dan sehingga umur meningkat 46 tahun, sebenarnya Malek tidak pernah berpuasa, apa lagi menunaikan solat lima waktu sehari.


"Saya lupa pada tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa. Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai.


"Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya mencari harta dan nama.


"Sehinggalah suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya berdepan dengan bangunan KLCC.


"Tiba-tiba saya terdengar azan sayup dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak tentu arah. Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali dan saya tak tahu apa yang saya cari.


"Selepas berpusing-pusing macam orang gila, satu jam saya tak bertenaga. Saya menangis dan terus menangis. Tiba-tiba saya teringat sesuatu dan terus berwuduk kemudian menunaikan solat Maghrib. Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli pelbagai kitab mengenai Islam dan saya turut membeli sebuah al-Quran," cerita Malek.


Bagi Malek, walaupun keinsafan dan kesedaran itu datang ketika usianya 46 tahun, dia tetap bersyukur kerana tahu Allah masih sayangkannya. "Malam selepas saya bersolat taubat, saya bermimpi didatangi arwah ibu, Jariah Ahmad yang menaburkan bunga emas pada saya.


"Selepas peristiwa itu saya pergi semula ke Hong Kong tetapi bukan untuk menetap di sana . Sebaliknya saya uruskan pemindahan syer perniagaan KK Design dengan rakan kongsi sebab saya memang tidak mahu menetap di sana .


"Ketika itu saya sudah membuat keputusan, saya mahu menetap di Malaysia untuk mencari seorang Muslim yang soleh. Bukan itu sahaja, malah saya mahu menjejaki akar umbi budaya Melayu yang telah lama saya lupakan.


"Setelah semuanya selesai, sejak 2006 saya terus menetap di KL dan tidak lagi ke Hong Kong . Kini saya benar-benar merasakan hidup ini amat bahagia dan tenang.


"Dalam kotak fikiran saya, hanya mahu melakukan suruhan Allah dan berbakti kepada masyarakat. Saya tidak sanggup lagi hidup bergelumang dosa dan noda.


"Cukuplah apa yang saya dah lakukan selama ini. Saya benar-benar insaf. Sejak itulah semua piala yang saya menang sebagai Mr. Asia saya buang.


"Dulu rumah saya penuh dengan patung-patung, tapi...semua saya dah buang. Kini rumah saya hanya dihiasi ayat-ayat suci al-Quran.


"Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sejak saya bertaubat, sudah tiga kali saya khatam membaca al-Quran. Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 2006 saya sudah menunaikan puasa enam, syukur Alhamdulillah, " kata Malek.


Kini kata Malek, walau apapun yang dilakukan oleh kawan-kawannya beliau tetap bersabar. Malah ada kawan yang meminjam duitnya dalam jumlah yang begitu banyak dan tidak mahu membayar semula, dia tidak pedulikan semua itu.


"Sekarang saya benar-benar reda dengan apa yang berlaku. Sama ada dia mahu bayar atau tidak, saya halalkan kerana bagi saya semua itu hanya harta dunia.


"Kini hidup saya mencari keredaan Allah. Insya-Allah saya akan tunaikan umrah tidak lama lagi dan jika diizinkan saya juga mahu menunaikan haji tahun ini," Malek menyambung cerita.


Menurut Malek, semua yang dilakukan kerana sedar Allah benar-benar sayangkannya dan menerima taubatnya.


Bukan itu sahaja, malah mimpi berjumpa arwah ibunya yang memimpinnya masuk ke Masjidil Haram dan terus sampai di depan Kaabah benar-benar menggamit hati dan nalurinya untuk ke sana .


"Selepas saya menunaikan rukun Islam yang kelima, jika ada jodoh saya mahu berumah tangga dan membina keluarga bahagia yang hidup berlandaskan Islam.


"Penghijrahan saya ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya, malah adik beradik yang lain juga gembira. Sebab itu saya nasihatkan anak-anak saudara saya kalau buat jahat pun biarlah ada ruang untuk kita bertaubat di hati ini," kata Malek yang juga pernah membintangi filem Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan yang terakhir Sahabat pada tahun 1999.

Tuesday, June 2, 2009

Raja dan Sesenduk Madu

Ada satu kisah yang mana boleh menjadi iktibar pada kita. Cerita ini mengisahkan seorang raja dan sesenduk madu. Kisah ini bermula apabila raja tersebut ingin menguji kesedaran dan kebertanggungjawaban rakyatnya. Raja ini memerintahkan agar setiap orang daripada rakyatnya pada suatu malam yang telah ditetapkan membawa sesenduk madu untuk dituangkan kedalam sebuah bekas yang telah disediakan di satu bukit yang berada ditengah-tengah kota. Seluruh rakyat memahami akan perintah yang dititahkan.

Tetapi terlintas didalam fikiran salah seorang rakyatnya iaitu si A untuk mengelak, “Aku membawa sesenduk penuh, tetapi bukan madu. Aku akan membawa air. Malam kegelapan akan melindungi aku dari pandangan mata orang. Sesenduk air tidak akan mempengaruhi sebekas besar madu yang akan diisi rakyat kelak”.

Maka tibalah malam yang telah ditetapkan. Seluruh rakyat beratur untuk mengisi bekasyang disediakan dengan madu yang dibawa masing-masing. Apa yang terjadi??? Rupa-rupanya setiap rakyat berfikiran sama dengan si A. Mereka mengharapkan warga kota yang lain membawa madu sambil membebaskan diri dari tanggungjawab. Akibatnya sebekas air penuh diisi.

Kisah ini mungkin pernah terjadi, akan terjadi dan memang terjadi dalam masyarakat kita. Yang mana dalam diri masyarakat tersebut ada satu penyakit iaitu sentiasa melarikan diri dari tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dan juga sering menyalahkan orang lain jika berlaku masalah. Semua ini adalah sikap yang tidak baik dan islam tidak pernah mengajar umatnya melepaskan diri dari apa yang sepatutnya ia pertanggungjawabkan.

Dalam melakukan sesuatu, kita hendaklah memulakannya dengan diri kita terlebih dahulu jika ingin pengikut berbuat yang sama. Sebagai contoh terbaik buat pengikut daripada pemimpin. Teringat peristiwa yang berlaku disekitar saya.

“Ehh Zam, masuk waktu zohor ka sudah? ko sudah solat ka?” Tanya seorang kawan.

“Sudah bah. Napa??” Jawabku selamba.

“Tu haji napa nda solat lagi tu? Main carom lagi. Ramai sudah orang disurau tu. Haji-haji.” Keluh seorang kawan.

“Nda pa la aku nda solat juga kan. Hehehe”. Celah seorang kawan lagi.

Dari situ dan secara lumrahnya telah nyata pengikut mana-mana pimpinan pun akan melihat contoh teladan daripada pemimpin mereka. Jika baik rajanya, maka baik la juga rakyatnya.

ö@ÏF»s)sù ’Îû È@‹Î6y™ «!$# Ÿw ß#¯=s3è? žwÎ) y7¡øÿtR 4 ÇÚÌhymur tûüÏZÏB÷sçRùQ$# (

Oleh itu, berperanglah (Wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); Engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. dan berilah peransang kepada orang-orang Yang beriman (pengikut-pengikut supaya turut berjuang Dengan gagah berani (Surah An-Nisa’ : 84)

Perhatikanlah kata-kata “tidak diberati selain daripada kewajipamu sendiri”. Nabi SAW pernah bersabda: “Mulailah dari dirimu sendiri, kemudian susulkanlah keluargamu.” Setiap orang menurut baginda adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Ini sudah menunjukkan bahawa setiap dari diri seseorang itu harus tampil terlebih member contoh yang baik. Dengan sikap yang beginilah membolehkan bekas yang disediakan raja diatas dipenuhi dengan madu dan bukannya air.

Monday, June 1, 2009

Kisah Kerajaan Semut


Ianya bermula dengan satu kematian dan dihadapkan ke hadapan Tuhan Semut.


"Apakah yang engkau telah lakukan didunia dahulu wahai Gadis Semut" tanya Malaikat Pendakwa di kamar Mahkamah Akhirat Tuhan Semut.


"Errr! Saya melakukan zina sehingga melahirkan seekor anak semut yang comel" jawab Gadis Semut kembali.

Matanya berlinangan air mata mengenangkan peristiwa itu. Kepalanya tertunduk dan tidak mampu diangkat untuk memandang wajah Malaikat Pendakwa tersebut.


"Tidakkah engkau tahu bahawa zina ini berdosa dilakukan? Tidakkah ibu-bapamu ada mengajar kepadamu tentang ilmu agama?" soal balas Malaikat Pendakwa yang mukanya teramat bengis.

"Saya tidak diajar langsung tentang ilmu agama, Tuan" jawab Gadis Semut.


"Panggil bicara kedua-dua orang tua Gadis Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada Malaikat Pembantu yang lain.


"Wahai ibubapa kepada Gadis Semut, tidakkah kamu tahu bahawa kamu wajib memberikan pendidikan agama kepada anak gadismu itu" tanya Malaikat Pendakwa dengan tegasnya.

"Kami lalai tuan, Kami sibuk dengan urusan pekerjaan kami sehari-hari. Walaupun begitu kamu ada menghantar anak gadis kami ke sekolah. Sepatutnya Ustaz dan Ustazah disekolah mengajarnya ilmu agama" jawab ibubapa Gadis Semut tersebut.


"Panggil Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa.

"Adakah kamu ada mengajar Gadis Semut ini tentang ilmu agama?" tanya Malaikat Pendakwa kepada Ustaz dan Ustazah sekolah Gadis Semut tersebut.


"Kami ada mengajarnya mengenai imu agama namun ianya terbatas kepada waktu yang dibenarkan dalam sistem pendidikan negara. Dalam seminggu kami cuma dapat mengajarkan ilmu agama cuma 5 waktu sahaja. 5 waktu ini cuma 225 minit sahaja tuan" jawab Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.


"Siapakah yang menetapkan waktu-waktu ini" tanya Malaikat Pendakwa.

"Kementerian Pendidikan tuan, yang diketuai oleh Menteri Pendidikan." dakwa Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.


"Panggil kekamar bicara Menteri Pendidikan" bentak Malaikat Pendakwa lalu ditanya pula."Adakah kamu yang memimpin Kementerian Pendidikan yang mentetapkan cuma 225 minit sahaja seminggu Pendidikan ilmu agama diajar kepada penuntut sekolah?"

"Ya tuan, memang saya yang memimpin Kementerian Pendidikan. Saya cuma menjalan tugasan saya seperti yang diarahkan oleh Kabinet, tuan" terketar-ketar Menteri Pendidikan tersebut menjawab soalan Malaikat Pendakwa tersebut.


"Siapa yang mengetuai Kabinet Kerajaan kamu itu" tegas soalan dari Malaikat Pendakwa."Perdana Menteri kami, tuan" lemah balasan Menteri Pendidikan yang kini tidak mampu mengangkat muka.


"Panggil ke kamar bicara Menteri Besar Kerajaan Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada pembantu-pembantunya.Lemah longlai Menteri Besar diheret ke kamar bicara oleh Malaikat Pembantu.. Kakinya tampak lemah tidak dapat mengatur langkah. Wajahnya nampak pucat lesi.


"Benarkah kamu yang memimpin kabinet Kerajaan Semut ini." tanya Malaikat Pendakwa dengan tegas kepada Menteri Besar.


"Ya tuan, Memang saya. Memang saya yang membuat semua keputusan yang diputuskan oleh kabinet. Malah memang saya yang mengarahkannya. " jawab Menteri Besar lemah.

"Jadi memang kamu mengaku bahawa kamu tahu apa akibatnya atas arahan dan keputusan yang kamu lakukan" tanya Malaikat Pendakwa.


"Ya memang saya tahu tuan, Namun saya melakukannya mengikut mandat yang diberikan kepada saya oleh rakyat negara saya yang memilih saya menjadi pemimpin mereka melalui satu pilihanraya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar apa yang diharapkan oleh rakyat negara saya" lemah jawapan Menteri Besar tersebut.


"Baiklah, sekarang saya serahkan kepada Tuhan Semut untuk membuat keputusan perbicaraan ini" lontar Malaikat Pendakwa.


"Tuhanku, Menteri Besar ini mengaku bahawa atas mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat semut melalui pilihanraya, maka beliau mengarahkan kabinet negaranya yang seterusnya menetapkan bahawa Pendidikan ilmu agama cuma 225 minit sahaja seminggu yang mana diberitakan tidak mencukupi sehinggakan Gadis Semut ini telah melakukan satu dosa besar iaitu zina." bentang Malaikat Pendakwa kepada Tuhan Semut dengan lengkap dan tertibnya.


"Barang siapa yang memilih (mengundi) Menteri Besar dan Kerajaan yang memerintah tersebut dalam pilihanraya hendaklah dimasukkan kedalam neraka keseluruhannya atas sebab dosa zina yang dilakukan oleh Gadis Semut tersebut. Ini termasuklah semua yang terlibat membiarkan Gadis Semut melakukan dosa zina" titah Tuhan Semut kepada Malaikat Pendakwa dan semua Malaikat seluruhnya.


Jika anda seorang yang berakal, tentunya anda dapat menangkap maksud petikan ringkas cerpen diatas. Semoga Allah tidak melaknat kita dan memasukkan kita keseluruhannya kedalam neraka atas sikap sambil lewa dan cuai kita dalam memilih pemimpin dan pimpinan negara. Walaupun ada satu dosa kecil yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka kita pun akan dimasukkan kedalam neraka jika kita membiarkan dosa ini dilakukan walaupun tanpa kita sedar. Jika ditafsir dengan lebih mendalam, kita bukan sahaja berdosa apabila mengangkat pen membuat pilihan yang salah, tapi turut dicampakkan ke dalam golongan yang sama apabila mempunyai kemampuan tetapi tidak mengangkat tangan untuk bertindak membantu golongan si Gadis Semut.