Sunday, December 7, 2008

MUSIBAH YANG DATANG, APA HIKMAHNYA?



Pagi ini kita dikejutkan dengan berita berlakunya tanah runtuh sekali di sebuah kawasan tanah tinggi di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Berlaku kematian dan kemusnahan harta benda kepada mangsa yang terlibat. Setiap hari kita sentiasa akan dikejutkan dengan perkhabaran dan berita yang menyentuh hati dan akal kita untuk berfikir bahawa sesungguhnya segala yang berlaku di dunia ini adalah dari ketentuan Allah SWT. Allahlah yang mentakdirkan sesuatu itu berlaku ke atas hambaNya. Setiap kejutan dan peristiwa begini akan mengingatkan kembali hati kita kepada pencipta kita, Allah SWT.

Bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, kebakaran dan sebagainya dilihat sebagai sesuatu yang lumrah berlaku di dalam kehidupan di dunia ini. Yang membezakan hanyalah impak yang berlaku ke atas mereka yang menghadapinya. Adakah mereka mengambil iktibar atau hikmah dari kejadian yang berlaku atau sebaliknya. Jika mereka memahami hikmah yang tersirat di sebalik setiap kejadian yang berlaku itu, maka tentulah hati-hati mereka ini akan semakin dekat dengan Allah SWT dan semakin meningkat rasa kehambaan dan rasa berTuhan di hati mereka.


Di samping krisis bencana alam ini, manusia juga terdedah dengan krisis-krisis lain yang tidak kurang juga membahayakan seperti contohnya krisis politik, krisis sosial, undang-undang, ekonomi, moral, pendidikan, kemanusiaan, keluarga dan berbagai macam krisis lainnya. Terjadi pergaduhan, penzaliman, perompakan, perjudian, pencurian, pembunuhan, peperangan yang menyebabkan pertumpahan darah dan berbagai kejahatan lain. Masyarakat hidup mengikuti nafsunya masing-masing. Yang kaya menderita, susah hati dalam menjaga dan menambah kekayaannya, yang miskin tidak sabar, susah hati kerana tidak memiliki harta dan melihat si kaya dengan penuh cemburu.

Pergolakan politik di kalangan elit tidak pernah berhenti laksana air laut yang sentiasa bergolak, saling jatuh-menjatuhkan perkara biasa, berebut jawatan hingga mengorbankan harta dan kadang- kadang nyawa. Orang yang berkuasa pula bertindak zalim, menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, kelompok dan golongan. Yang tidak berkuasa mengerahkan segala daya upaya untuk merebut kuasa dan menggantikan pemerintahan yang ada. Ternyata pemerintah yang mengganti itu tidak lebih baik dan yang ditumbangkannya.

Para cerdik pandai mengejar nama dan gelaran, jawatan dan kemegahan, bahkan sesetengahnya sanggup `membeli` gelaran-gelaran itu. Mereka tidak segan untuk memberi dan menerima rasuah dan mengetepikan tugas mendidik rakyat. Muda-mudi hidup berfoya-foya, terlibat dengan dadah dan pergaulan bebas. Maksiat di mana-mana, jenayah dan pelanggaran undang-undang tidak berhenti, ibarat air sungai yang mengalir setiap waktu. Manusia hidup dalam kesusahan dan penderitaan. Jiwa masyarakat tidak tenang, mereka bagai hidup dalam neraka dunia.

Semua ini terjadi kerana manusia sudah tidak berkasih sayang. Tidak ada kasih sayang kerana manusia sudah tipis rasa tauhidnya, sudah tipis keyakinan tentang adanya Tuhan, sudah melupakan Tuhan, sudah tidak mencintai Tuhan. Di waktu itu manusia sudah tidak ada rasa takut lagi. Sudah tidak ada lagi kuasa ghaib yang ditakuti. Dia akan menjadi manusia yang cuba menyesuaikan diri dalam semua keadaan. Di kalangan ulama, dia berpura-pura warak sementara di dalam suasana lain dia mungkar. Seseorang itu sanggup mencuri, curang, menipu atau melakukan apa saja apabila kepercayaan terhadap Kuasa Ghaib itu sudah tiada. Dari sinilah kemudian merebaknya penyakit-penyakit masyarakat.

Kedatangan rasul-rasul, nabi-nabi, rnujaddid-mujaddid kepada umat manusia adalah untuk membawa rahmat Tuhan bagi seluruh alam. Rahmat Tuhan yang paling besar adalah kenal Tuhan. Bila manusia kenal Tuhan maka dia akan cinta, takut, rindu, berterima kasih dan mendorongnya untuk beribadah dan menyembah Tuhan. Hasil dari kenal Tuhan dan ibadah yang dihayati ini akan mendorongnya berbuat kebaikan kepada manusia dan makhluk-makhluk lain ciptaan Tuhan sehingga wujudlah keamanan, keharmonian dan kasih sayang dalam masyarakat.

Malangnya di dunia hari ini walaupun manusia masih percaya adanya Tuhan tetapi dalam kehidupan mereka sudah kehilangan Tuhan. Hampir seluruh lapisan dan peringkat masyarakat sudah melupakan Tuhan dalam kehidupan mereka. Rakyat awam, golongan atasan, pejuang-pejuang kemasyarakatan, para peniaga dan usahawan, guru dan kalangan pendidik, para dai, ulama dan mubaligh, penguatkuasa undang-undang, hakim, peguam, pakar undang-undang, ahli politik, teknorat, pakar-pakar dalam segala bidang, semuanya sudah melupakan Tuhan. Kalaupun ada hanya sekadar lahir yang tidak mampu mencegah manusia daripada membuat kemungkaran dan kejahatan.

Hasil dan melupakan Tuhan ini maka hilanglah cinta terhadap sesama manusia. Kalau terhadap Tuhan yang terlalu berjasa kepada manusia, sehingga patut dicintai, manusia sudah melupakan dan tidak mencintai-Nya, maka atas alasan apa manusia dapat mencintai sesamanya. Manusia lain itu mungkin tidak ada apa-apa jasa kepadanya.

Jadi kesan negatif dari melupakan Tuhan ini terlalu banyak. Manusia sudah tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada timbang rasa, tidak ada perikemanusiaan, tidak berlaku adil dan tidak bekerjasama. Kalaupun ada kerjasama bukan atas dasar cinta, ia tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri. Kerana itu ikatannya terlalu lemah dan ia boleh terungkai bila-bila masa sahaja.

Orang yang kehilangan Tuhan bukan saja di kalangan orang yang tidak ikut syariat, bahkan orang yang mengerjakan solat, membayar zakat, mengerjakan haji dan umrah pun sudah kehilangan Tuhan. Walaupun mereka banyak di masjid, tetapi sebenarnya bukan dibuat atas dasar mencintai Tuhan. Sebab itulah tidak lahir kasih sayang, pemurah, kerjasama, bermaaf-maafan. Akibatnya di dalam masjid pun sering terjadi pertengkaran dan perkelahian.

Antara yang menjadi pembohong, memfitnah, menipu, makan rasuah dan lain-lain kejahatan adalah di kalangan mereka yang solat, puasa, naik haji, umrah dan lain-lain. Ibadahnya tidak berbuah. Itulah tandanya ikut Islam tetapi tidak kenal Tuhan. Bukan saja orang politik, pengusaha, polis, tentera, bahkan ulama dan orang yang solat pun sudah terpisah dengan Tuhan. Solat dibuat dalam keadaan hati yang lalai dengan Tuhan. Selepas solat, mereka menipu, makan rasuah (rasuah), bohong, memfitnah dan lain. Solatnya tidak memberi kesan dalam kehidupan sehari-hari.

Mari kita lihat ayat yang Quran yang pendek sahaja.

Terjemahannya:

"Sesungguhnya mendapat kejayaanlah orang yang membersihkan nafsunya( daripada mazmumah dan sifat-sifat jahat) dan gagallah, kecewalah orang yang mengotorkan nafsunya." (Asy Syams: 9-10)

Ayat ini kalau dibaca dengan ikhlas untuk Tuhan, betul-betul dihayati dan disampaikan kepada umat, sangat besarlah kejayaannya.

Manusia itu ada fizikal, akal, roh dan nafsu. Tuhan jadikan manusia tabiat semulajadinya sudah ada benih-benih, sifat-sifat dan perangai malaikat, haiwan dan syaitan. Disinilah dikatakan keadilan Tuhan. Ketiga-tiga sifat telah ada. Cuma Tuhan memberitahu, yang benih malaikat hendak disuburkan, yang sifat syaitan hendak dibuang, yang sifat haiwan bukan dibuang tetapi didisiplinkan. Tuhan sudah memberitahu.

Pemberitahuan Tuhan itulah lambang keadilan. Seolah-olah Tuhan berkata, "Kalau engkau hendak jadi orang baik boleh, nak jadi orang jahat boleh, nak jadi malaikat boleh, nak jadi haiwan boleh, nak jadi syaitan pun boleh." Cuma yang tak boleh ubah muka sahaja.

Yang memilih untuk menentukan hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan ialah nafsu. Sebab itu nafsu jangan dibunuh, cuma didisiplinkan, diarah-arah, dididik. Hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan pun dia yang berkehendak. Kalau nafsu dibunuh, manusia tidak akan ada kehendak.

Semasa dia berkehendak menjadi malaikat, benih-benih sifat malaikat pun Tuhan sudah tanam seperti rasa malu, kasih sayang, bertimbang rasa, rendah diri, belas kasihan. Ini benih-benih sifat malaikat. Rasa bertuhan itulah benih malaikat.

Manakala benih syaitan antaranya ialah sombong, tamak, pemarah, hasad dengki, bakhil, buruk sangka dan macam-macam lagi sifat yang negatif.
Kalau benih binatang pula seperti banyak makan, tidur, keinginan seks, bergaduh, pentingkan diri.

Terpulang pada kita hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan. Ada kala jadi malaikat, ada waktu jadi syaitan atau boleh jadi kadang-kadang macam malaikat tapi sebenarnya perangai syaitan.

Ada orang yang menjadi malaikat, lepas sahaja wirid dia tipu orang, rasuah, curi duit bank. Begitulah watak semulajadi yang Tuhan lakukan bagi manusia ini. Terpulanglah pada manusia memilih sama ada untuk menyuburkan benih malaikat, syaitan atau haiwan.

Apa yang kita dapat ambil intipati dari ayat ini ialah, kalau semua golongan sama ada ulama, pemimpin, orang kaya, guru-guru, mubaligh dan orang biasa boleh bersihkan nafsunya daripada sifat negatif maka akan datanglah kasih sayang, pemurah, memberi maaf, bekerjasama, perikemanusiaan yang tinggi. Hasilnya lahirlah pemimpin yang adil, benar-benar bertanggung jawab pada rakyat, ulama yang benar-benar menjadi obor pada masyarakat sama ada golongan atas atau bawah, orang kaya menjadi bank, membantu orang miskin.Bahkan bila kerajaan susah, dia beri duit pada kerajaan.

Kalau dia guru, nafsunya dibersihkan, dia jadi guru yang juga ayah, mak dan kawan kepada murid-muridnya hingga murid-murid dianggap anaknya. Marah dan kasihnya macam mak ayah terhadap anak. Anak murid pula, sampai mati pun akan sebut gurunya. Dia tidak akan lawan guru. Kisah-kisah murid lawan guru ini kerana salah gurunya yakni kerana nafsu gurunya. Pada guru yang sudah bersihkan nafsunya, dialah kawan, dia pemimpin, dia ayah dan ibu kepada murid-murid. Kalau dia marah adalah atas dasar ayah kepada anak.

Kalau ditakdirkan Tuhan, seseorang itu miskin pula, dia akan sabar, tidak akan mencuri, tidak hasad dengki dan tidak timbul penyakit masyarakat.

Satu ayat sahaja, kalau diterima akan menjadikan pemimpinnya adil, bertanggung jawab, berwatak guru dan adakalanya macam mak ayah. Rakyat pula taat setia dan sanggup mati kerana pemimpin. Orang kaya jadi bank, guru-guru macam mak ayah yang beri kasih sayang dan murid jatuh hati padanya. Dunia menjadi syurga sebelum syurga di akhirat.

Cuba bayangkan betapa indahnya kalau dalam sebuah rumah tangga, ibu bapa berakhlak mulia dan berperanan mendidik anak-anak, dan dapat pula menjadi contoh. Di sekolah, guru-guru bagaikan mak ayah, mendidik murid bagaikan anak sendiri, penuh dengan kasih sayang dan suri teladan. Di kampung-kampung, ketua kampung berperanan sebagai pendidik, di mukim dan daerah penghulu dan pegawai daerah juga berperanan sebagai pendidik dan menjadi suri teladan, begitulah seterusnya di dalam masyarakat umum di mana ketua negara, menteri-menteri dan wakil rakyat bersifat mendidik dan menjadi suri teladan kepada rakyat. Masyarakat begini siapa yang tak nak? Masyarakat yang berkasih sayang, yang ada rasa bersama dan bekerjasama. Mana kita nak cari ? Yang kita lihat hari ini, sebab nafsu manusia sudah jahat, ada yang sudah jadi harimau dan singa, ada yang sudah jadi ular dan beruang.

Dengan ayat yang pendek itu sudah cukup untuk membawa perubahan. Kalau dibaca dengan ikhlas dan dihayati, masyarakat akan jadi syurga. Untuk membersihkan nafsu, kita mesti merujuk kepada Allah kerana Dialah yang tahu selok-belok kejadian manusia. Dia yang menciptakan manusia, sudah pasti Dia apa sahaja masalah yang menimpa manusia, Dia ada cara untuk menyelesaikannya.

Maka jika berlakulah bencana, krisis dan malapetaka di dalam hidup manusia itu, rujuklah kembali kepada Allah, merintih dan berdoalah kepadaNya, bermuhasabah dan bermujahadahlah, insyaAlah akan selamatlah manusia itu dari rasa keluh kesah, kesedihan yang melampau, dan akan terbukalah jalan penyelesaian di dalam menangani musibah yang menimpa ke atas manusia itu.

SEKIAN

Wednesday, December 3, 2008

Mengapa Masyarakat Islam Tidak Dilihat Indah?

Islam adalah agama akidah, agama ibadah, akhlak dan peraturan
serta undang-undang hidup di dalam semua aspek kehidupan sama ada dari persoalan kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, perhubungan, kenegaraan, ketenteraan hinggalah alam sejagat.

Jika sekiranya Islam itu dapat difahami, dihayati dan diamalkan
keseluruhannya, akan dapat dilihat bahawa penganut-penganutnya
adalah manusia yang berakidah, beribadah, berakhlak, berdisiplin, cergas, aktif dan berhubung antara satu sama lain. Dari sini lahirlah manusia yang berukhwah, berpadu, maju, aman damai, bahagia dan harmoni.

Akan tetapi pada hari ini kita lihat umat Islam dan masyarakat umum amat kusut sekali, haru-biru, huru-hara, kelamkabut, tidak berakhlak dan tidak berdisiplin. Umat Islam tidak sehaluan, tidak sependapat dan tidak satu fikiran. Masing-masing ada tujuan-tujuan yang tersendiri, tidak seia-sekata dan tidak serentak menuju satu matlamat yang menjadi cita-cita
Islam. Bersimpang-siur antara satu sama lain. Tidak di satu barisan yang tersusun rapi seperti satu bangunan yang tersusun dan indah. Mereka bercelaru, satu ke hulu, satu ke hilir. Satu ke darat, satu ke baruh. Satu ke lurah, satu ke bukit. Satu ke timur dan satu ke barat. Akhirnya accident dan berembuk sesama sendiri. Akhirnya umat Islam yang rugi.

Ada yang kaya berfoya-foya, sombong, membuang masa dan
melakukan pembaziran. Hidup sendiri-sendiri. Ada yang miskin tidak sabar. Merungut sana, merungut sini. Mengeluh di sana, mengeluh di sini. Mereka kelihatan resah gelisah.

Yang berilmu hanya memikirkan diri. Dia mencari harta dengan ilmunya. Dia bergaul dengan masyarakat hanya di majlis-majlis rasmi. Hidup juga bersendirian.

Pemuda-pemudinya hidup tidak tentu hala dan tidak tahu
matlamat. Berkumpul membuang masa, bohsia, bohjan, melepak-lepak, sakit mata melihatnya.
Para pemerintah dan penguasa menggertak-gertak, membentak-bentak, mengugut-ugut dan menakut-nakutkan seolah-olah tenggelam punca. Tidak tahu bagaimana hendak mendidik rakyatnya.

Di dalam keluarga, masing-masing hendak lari keluar. Terutamanya
anak-anak. Mereka gelisah sahaja. Panas punggung duduk di rumah kerana di rumah tiada ketenangan dan tiada kebahagiaan.

Begitulah gambaran masyarakat Islam di seluruh dunia. Begitu kusut dan menyakitkan mata memandang. Kalau kita hendak membuat perbandingan, sepertilah kain buruk yang luntur warnanya, berculang-caling, bertompok-tompok, ada hitam, ada kelabu, ada merah, ada biru, ada kuning dan lain-lain warna kerana ditimpa berbagai-bagai hal. Keadaannya begitu
comot sekali. Sakit mata memandang dan perasaan hati
terasa jijik.

Atau dengan gambaran yang lain sebagai perbandingan, macam kita melihat di satu lembah yang busuk, becak, berlumpur, penuh sampah sarap yang berbagai-bagai warnanya. Baunya busuk, sangat jelik dilihat. Hati liar dibuatnya. Begitulah gambaran masyarakat umat Islam di seluruh dunia.
Mengapa terjadi demikian? Mengapa gambaran masyarakat Islam begitu buruk? Mengapa Islam itu begitu cantik tetapi penganutnya tidak cantik? Mengapa Islam itu indah sedangkan penganut-penganutnya sudah tidak indah lagi?

Terjadinya yang demikian itu adalah dari sebab-sebab seperti
berikut:

1. Sesetengah umat Islam di seluruh dunia, Islamnya tinggal akidah semata-mata. Ibadah sudah tidak dibuat lagi. Apatah lagi perkara-perkara selain ibadah, lebih-lebih lagi tidak mencerminkan ajaran Islam. Hiduplah cara mana mahu hidup. Buatlah apa yang terasa. Ikutlah siapa yang hendak diikut. Kadang-kadang dia pun tidak tahu apakah dia seorang muslim atau tidak. Cuma dia dengar-dengar bahawa dia adalah keturunan umat Islam. Maka dia pun mengaku orang Islam. Apa itu Islam, dia tidak tahu. Golongan ini masih ramai.

2. Ada segolongan umat Islam, agamanya hanya setakat akidah dan ibadah sahaja. Itu pun ibadahnya tidak mengikut ilmu yang tepat dan beribadah pun tidak konsisten. Kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak. Rasa hendak buat, dia beribadah. Rasa tidak mahu, berhenti dahulu. Atau waktu
terpaksa beribadah. Contohnya kerana ada majlis rasmi di masjid, kenalah bersembahyang. Selepas itu rehat pula. Kemudian apabila terasa hendak beribadah, buat pula. Di aspek-aspek yang lain, jangan cerita. Dia buatlah apa sahaja yang dia mahu. Ia tidak ada kena-mengena lagi dengan
Islam. Islam memang tidak ada hubung kait lagi dengan persoalan kehidupan. Golongan ini juga ramai.

3. Ada golongan pula di kalangan umat Islam, dia berakidah dan ibadahnya tetap dibuat, tidak pernah tinggal. Bagaimana pun, di sudut-sudut lain dia tidak ambil kira sangat, seperti di aspek makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan tempat kerja. Hal-hal itu, ikut Islamkah atau tidak, dia tidak
ambil pusing sangat. Jatuh kepada haram atau halal, dia tidak ambil kira. Akhlak juga tidak dijaga. Kalaupun ada yang sesuai dengan ajaran Islam bukan pula dirancang tapi hanya secara kebetulan sahaja. Kerana yang dia jaga sangat ialah akidah dan ibadah sahaja. Yang lain tidak dijaga.
Golongan ini agak ramai.

4. Satu golongan lagi, akidahnya bagus, ibadahnya juga agak bagus. Memang dia jaga. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal dijaga jangan sampai melanggar ajaran Islam. Begitu pun di sudut-sudut lain pula terabai. Dia tidak ambil kira sangat. Seperti tidak ambil kira tempat bekerja walaupun melanggar perintah Islam seperti pergaulan bebas lelaki dan
perempuan. Begitu juga akhlaknya tidak dijaga. Boleh sahaja mengumpat, mengata, menghina, hasad, pemarah, sombong, riyak, tamak, bakhil, memfitnah, mengadu domba dan lain-lain lagi. Golongan ini juga agak ramai.

5. Ada golongan yang akidahnya dijaga, ibadah tidak dicuaikandan akhlak boleh tahan dengan orang luar tetapi dengan anak isteri cuai. Di dalam keluarga tidak ada pendidikan formal atau tidak formal. Dengan anak isteri boleh buat lebih kurang, tidak ada perbincangan, tidak ada usrah, tidak ada
pengajian dan tidak ada mesyuarat sesama ahli keluarga.Dengan anak isteri marah-marah sahaja. Didikannya hanya setakat: kalau anak isteri buat salah, dia marah-marah. Dia anggap itulah didikan. Padahal itu adalah hukuman, bukan didikan. Suasana Islam tidak ada di dalam rumah tangga
dan hubungan renggang di antara keluarga. Padahal Islam itu selain bermula dari diri, ia juga bermula dari rumah tangga. Golongan ini juga agak ramai dan keadaan ini berlaku merata.

6. Ada golongan yang sangat menghayati Islam. Akidahnya dijaga, ibadahnya istiqamah dan bersungguh-sungguh. Halal haram di dalam semua hal sangat diambil berat. Akhlaknya dengan Tuhan atau dengan manusia sentiasa diambil berat. Kalau dia melakukan kesalahan atau tertinggal
amalan yang pernah dibuat walaupun sunat, dia sangat menyesal dan dia akan tampung dengan kebaikan. Dia akan tampung dengan sembahyang sunat, sedekah, denganmenolong orang dan lain-lain. Dengan anak isteri berjalan syariat Islam, sembahyang berjemaah bersama, ada program
membaca Al Quran, ada jadual kuliah dan perbincangan. Ibu dan ayah menjadi suri teladan, berkasih sayang sesama keluarga, bekerjasama di antara satu sama lain. Golongan ini sudah tidak ramai lagi. Mereka ini sudah dianggap orang ganjil dan pelik oleh masyarakat.

7. Golongan ini selain bersikap seperti golongan yang keenam, mereka sibuk memperjuangkan Islam. Islam itu diperjuangkan melalui ceramah-ceramah, nasihat-nasihat, tulisan-tulisan,membuat kebaikan di tengah masyarakat seperti selalu bersedekah, sering menolong orang susah dengan
berbagai-bagai cara, suka berkhidmat dengan masyarakat dan pantang mendengar orang susah, mesti ditolongnya.Dia menyedarkan masyarakat kepada Islam secara bilhalatau secara sikap, agar orang ramai faham bahawa begitulah caranya Islam itu. Golongan ini lebih-lebih lagi terlalu
sedikit. Macam antah dalam beras atau macam mencari
gagak putih.

Kalau secara rambang atau secara umum umat Islam seluruh dunia telah terbahagi kepada tujuh golongan. Itu belum kita perinci dan detailkan lagi. Bagaimanalah umat Islam hendak berkasih sayang? Bagaimanakah boleh bersatu padu? Senangkah hendak bertolong bantu? Mudahkah hendak seia-sekata? Mudahkah hendak berjuang di dalam satu barisan yang tersusun,
menuju satu haluan?

Kalau umat Islam seluruh dunia ini, sudah tidak sama dan tidak seirama dalam memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkan Islam, bolehkah umat Islam menjadi kuat dan berdaulat? Bolehkah lahir satu umat yang berakhlak dan berwibawa hingga dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia?

Kalau kehidupan umat Islam sudah begitu kusut seperti yang telah kita paparkan sebelum ini, dari manakah kita hendak bermula untuk memulihkannya semula? Bermula dari duit? Bermuladari hiburan? Bermula dari politik? Bermula dari ilmu?

Berjuang memulihkan semula masyarakat Islam yang begitu haru-biru itu mesti bermula daripada iman dan ilmu. Iman dan ilmu mesti dari didikan. Dari didikan baru datang penghayatan.Dari penghayatan baru datang cinta kepada Allah, Rasul danagama-Nya, atau baru datang takut kepada Allah Taala. Dari takut itu mereka melaksanakan. Dari melaksanakan, lahirlah
bangsa yang bertaqwa. Setelah bertaqwa barulah datang bantuan dan pembelaan dari Allah Taala. Setelah Allah Taala bela, barulah datang kekuatan, kedaulatan dan seterusnya kejayaan yang
diredhai-Nya.

Begitu pun, hendak melahirkan proses itu atau metodologi untuk ditempuh hingga sampai ke matlamatnya, mesti ada figure atau pemimpin yang beriman, berilmu, bertaqwa, berakhlak mulia, yang dihormati dan disegani, disayangi dan dipatuhi.

Kalau nilai peribadi pemimpin itu sama dengan nilai peribadi rakyat umum atau lebih rendah lagi, siapakah yang boleh terima? Siapakah yang boleh hormat? Siapakah yang akansayangi? Siapakah yang akan patuhi?

Kita semua boleh memberi jawapan. Sudah tentu perjuangan umat Islam tidak sampai ke mana. Kalau hendak memperjuangkan di satu aspek sahaja seperti membangun dan maju sahaja, mungkin boleh. Bagaimana pula di aspek iman, taqwa, akhlak, ketaatan dan kasih sayang?
Cukupkah dengan maju sahaja? Orang Barat sudah maju tetapi apa telah jadi kepada masyarakat mereka? Kita semua tahu keadaannya. Tidak perlulah saya sebutkan lagi. Apakah umat Islam mahu mengejar kemajuan sahaja seperti orang Barat lakukan. Masing-masing kita jawablah sendiri.

Dipetik....