Sunday, December 7, 2008

MUSIBAH YANG DATANG, APA HIKMAHNYA?



Pagi ini kita dikejutkan dengan berita berlakunya tanah runtuh sekali di sebuah kawasan tanah tinggi di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Berlaku kematian dan kemusnahan harta benda kepada mangsa yang terlibat. Setiap hari kita sentiasa akan dikejutkan dengan perkhabaran dan berita yang menyentuh hati dan akal kita untuk berfikir bahawa sesungguhnya segala yang berlaku di dunia ini adalah dari ketentuan Allah SWT. Allahlah yang mentakdirkan sesuatu itu berlaku ke atas hambaNya. Setiap kejutan dan peristiwa begini akan mengingatkan kembali hati kita kepada pencipta kita, Allah SWT.

Bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, kebakaran dan sebagainya dilihat sebagai sesuatu yang lumrah berlaku di dalam kehidupan di dunia ini. Yang membezakan hanyalah impak yang berlaku ke atas mereka yang menghadapinya. Adakah mereka mengambil iktibar atau hikmah dari kejadian yang berlaku atau sebaliknya. Jika mereka memahami hikmah yang tersirat di sebalik setiap kejadian yang berlaku itu, maka tentulah hati-hati mereka ini akan semakin dekat dengan Allah SWT dan semakin meningkat rasa kehambaan dan rasa berTuhan di hati mereka.


Di samping krisis bencana alam ini, manusia juga terdedah dengan krisis-krisis lain yang tidak kurang juga membahayakan seperti contohnya krisis politik, krisis sosial, undang-undang, ekonomi, moral, pendidikan, kemanusiaan, keluarga dan berbagai macam krisis lainnya. Terjadi pergaduhan, penzaliman, perompakan, perjudian, pencurian, pembunuhan, peperangan yang menyebabkan pertumpahan darah dan berbagai kejahatan lain. Masyarakat hidup mengikuti nafsunya masing-masing. Yang kaya menderita, susah hati dalam menjaga dan menambah kekayaannya, yang miskin tidak sabar, susah hati kerana tidak memiliki harta dan melihat si kaya dengan penuh cemburu.

Pergolakan politik di kalangan elit tidak pernah berhenti laksana air laut yang sentiasa bergolak, saling jatuh-menjatuhkan perkara biasa, berebut jawatan hingga mengorbankan harta dan kadang- kadang nyawa. Orang yang berkuasa pula bertindak zalim, menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, kelompok dan golongan. Yang tidak berkuasa mengerahkan segala daya upaya untuk merebut kuasa dan menggantikan pemerintahan yang ada. Ternyata pemerintah yang mengganti itu tidak lebih baik dan yang ditumbangkannya.

Para cerdik pandai mengejar nama dan gelaran, jawatan dan kemegahan, bahkan sesetengahnya sanggup `membeli` gelaran-gelaran itu. Mereka tidak segan untuk memberi dan menerima rasuah dan mengetepikan tugas mendidik rakyat. Muda-mudi hidup berfoya-foya, terlibat dengan dadah dan pergaulan bebas. Maksiat di mana-mana, jenayah dan pelanggaran undang-undang tidak berhenti, ibarat air sungai yang mengalir setiap waktu. Manusia hidup dalam kesusahan dan penderitaan. Jiwa masyarakat tidak tenang, mereka bagai hidup dalam neraka dunia.

Semua ini terjadi kerana manusia sudah tidak berkasih sayang. Tidak ada kasih sayang kerana manusia sudah tipis rasa tauhidnya, sudah tipis keyakinan tentang adanya Tuhan, sudah melupakan Tuhan, sudah tidak mencintai Tuhan. Di waktu itu manusia sudah tidak ada rasa takut lagi. Sudah tidak ada lagi kuasa ghaib yang ditakuti. Dia akan menjadi manusia yang cuba menyesuaikan diri dalam semua keadaan. Di kalangan ulama, dia berpura-pura warak sementara di dalam suasana lain dia mungkar. Seseorang itu sanggup mencuri, curang, menipu atau melakukan apa saja apabila kepercayaan terhadap Kuasa Ghaib itu sudah tiada. Dari sinilah kemudian merebaknya penyakit-penyakit masyarakat.

Kedatangan rasul-rasul, nabi-nabi, rnujaddid-mujaddid kepada umat manusia adalah untuk membawa rahmat Tuhan bagi seluruh alam. Rahmat Tuhan yang paling besar adalah kenal Tuhan. Bila manusia kenal Tuhan maka dia akan cinta, takut, rindu, berterima kasih dan mendorongnya untuk beribadah dan menyembah Tuhan. Hasil dari kenal Tuhan dan ibadah yang dihayati ini akan mendorongnya berbuat kebaikan kepada manusia dan makhluk-makhluk lain ciptaan Tuhan sehingga wujudlah keamanan, keharmonian dan kasih sayang dalam masyarakat.

Malangnya di dunia hari ini walaupun manusia masih percaya adanya Tuhan tetapi dalam kehidupan mereka sudah kehilangan Tuhan. Hampir seluruh lapisan dan peringkat masyarakat sudah melupakan Tuhan dalam kehidupan mereka. Rakyat awam, golongan atasan, pejuang-pejuang kemasyarakatan, para peniaga dan usahawan, guru dan kalangan pendidik, para dai, ulama dan mubaligh, penguatkuasa undang-undang, hakim, peguam, pakar undang-undang, ahli politik, teknorat, pakar-pakar dalam segala bidang, semuanya sudah melupakan Tuhan. Kalaupun ada hanya sekadar lahir yang tidak mampu mencegah manusia daripada membuat kemungkaran dan kejahatan.

Hasil dan melupakan Tuhan ini maka hilanglah cinta terhadap sesama manusia. Kalau terhadap Tuhan yang terlalu berjasa kepada manusia, sehingga patut dicintai, manusia sudah melupakan dan tidak mencintai-Nya, maka atas alasan apa manusia dapat mencintai sesamanya. Manusia lain itu mungkin tidak ada apa-apa jasa kepadanya.

Jadi kesan negatif dari melupakan Tuhan ini terlalu banyak. Manusia sudah tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada timbang rasa, tidak ada perikemanusiaan, tidak berlaku adil dan tidak bekerjasama. Kalaupun ada kerjasama bukan atas dasar cinta, ia tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri. Kerana itu ikatannya terlalu lemah dan ia boleh terungkai bila-bila masa sahaja.

Orang yang kehilangan Tuhan bukan saja di kalangan orang yang tidak ikut syariat, bahkan orang yang mengerjakan solat, membayar zakat, mengerjakan haji dan umrah pun sudah kehilangan Tuhan. Walaupun mereka banyak di masjid, tetapi sebenarnya bukan dibuat atas dasar mencintai Tuhan. Sebab itulah tidak lahir kasih sayang, pemurah, kerjasama, bermaaf-maafan. Akibatnya di dalam masjid pun sering terjadi pertengkaran dan perkelahian.

Antara yang menjadi pembohong, memfitnah, menipu, makan rasuah dan lain-lain kejahatan adalah di kalangan mereka yang solat, puasa, naik haji, umrah dan lain-lain. Ibadahnya tidak berbuah. Itulah tandanya ikut Islam tetapi tidak kenal Tuhan. Bukan saja orang politik, pengusaha, polis, tentera, bahkan ulama dan orang yang solat pun sudah terpisah dengan Tuhan. Solat dibuat dalam keadaan hati yang lalai dengan Tuhan. Selepas solat, mereka menipu, makan rasuah (rasuah), bohong, memfitnah dan lain. Solatnya tidak memberi kesan dalam kehidupan sehari-hari.

Mari kita lihat ayat yang Quran yang pendek sahaja.

Terjemahannya:

"Sesungguhnya mendapat kejayaanlah orang yang membersihkan nafsunya( daripada mazmumah dan sifat-sifat jahat) dan gagallah, kecewalah orang yang mengotorkan nafsunya." (Asy Syams: 9-10)

Ayat ini kalau dibaca dengan ikhlas untuk Tuhan, betul-betul dihayati dan disampaikan kepada umat, sangat besarlah kejayaannya.

Manusia itu ada fizikal, akal, roh dan nafsu. Tuhan jadikan manusia tabiat semulajadinya sudah ada benih-benih, sifat-sifat dan perangai malaikat, haiwan dan syaitan. Disinilah dikatakan keadilan Tuhan. Ketiga-tiga sifat telah ada. Cuma Tuhan memberitahu, yang benih malaikat hendak disuburkan, yang sifat syaitan hendak dibuang, yang sifat haiwan bukan dibuang tetapi didisiplinkan. Tuhan sudah memberitahu.

Pemberitahuan Tuhan itulah lambang keadilan. Seolah-olah Tuhan berkata, "Kalau engkau hendak jadi orang baik boleh, nak jadi orang jahat boleh, nak jadi malaikat boleh, nak jadi haiwan boleh, nak jadi syaitan pun boleh." Cuma yang tak boleh ubah muka sahaja.

Yang memilih untuk menentukan hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan ialah nafsu. Sebab itu nafsu jangan dibunuh, cuma didisiplinkan, diarah-arah, dididik. Hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan pun dia yang berkehendak. Kalau nafsu dibunuh, manusia tidak akan ada kehendak.

Semasa dia berkehendak menjadi malaikat, benih-benih sifat malaikat pun Tuhan sudah tanam seperti rasa malu, kasih sayang, bertimbang rasa, rendah diri, belas kasihan. Ini benih-benih sifat malaikat. Rasa bertuhan itulah benih malaikat.

Manakala benih syaitan antaranya ialah sombong, tamak, pemarah, hasad dengki, bakhil, buruk sangka dan macam-macam lagi sifat yang negatif.
Kalau benih binatang pula seperti banyak makan, tidur, keinginan seks, bergaduh, pentingkan diri.

Terpulang pada kita hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan. Ada kala jadi malaikat, ada waktu jadi syaitan atau boleh jadi kadang-kadang macam malaikat tapi sebenarnya perangai syaitan.

Ada orang yang menjadi malaikat, lepas sahaja wirid dia tipu orang, rasuah, curi duit bank. Begitulah watak semulajadi yang Tuhan lakukan bagi manusia ini. Terpulanglah pada manusia memilih sama ada untuk menyuburkan benih malaikat, syaitan atau haiwan.

Apa yang kita dapat ambil intipati dari ayat ini ialah, kalau semua golongan sama ada ulama, pemimpin, orang kaya, guru-guru, mubaligh dan orang biasa boleh bersihkan nafsunya daripada sifat negatif maka akan datanglah kasih sayang, pemurah, memberi maaf, bekerjasama, perikemanusiaan yang tinggi. Hasilnya lahirlah pemimpin yang adil, benar-benar bertanggung jawab pada rakyat, ulama yang benar-benar menjadi obor pada masyarakat sama ada golongan atas atau bawah, orang kaya menjadi bank, membantu orang miskin.Bahkan bila kerajaan susah, dia beri duit pada kerajaan.

Kalau dia guru, nafsunya dibersihkan, dia jadi guru yang juga ayah, mak dan kawan kepada murid-muridnya hingga murid-murid dianggap anaknya. Marah dan kasihnya macam mak ayah terhadap anak. Anak murid pula, sampai mati pun akan sebut gurunya. Dia tidak akan lawan guru. Kisah-kisah murid lawan guru ini kerana salah gurunya yakni kerana nafsu gurunya. Pada guru yang sudah bersihkan nafsunya, dialah kawan, dia pemimpin, dia ayah dan ibu kepada murid-murid. Kalau dia marah adalah atas dasar ayah kepada anak.

Kalau ditakdirkan Tuhan, seseorang itu miskin pula, dia akan sabar, tidak akan mencuri, tidak hasad dengki dan tidak timbul penyakit masyarakat.

Satu ayat sahaja, kalau diterima akan menjadikan pemimpinnya adil, bertanggung jawab, berwatak guru dan adakalanya macam mak ayah. Rakyat pula taat setia dan sanggup mati kerana pemimpin. Orang kaya jadi bank, guru-guru macam mak ayah yang beri kasih sayang dan murid jatuh hati padanya. Dunia menjadi syurga sebelum syurga di akhirat.

Cuba bayangkan betapa indahnya kalau dalam sebuah rumah tangga, ibu bapa berakhlak mulia dan berperanan mendidik anak-anak, dan dapat pula menjadi contoh. Di sekolah, guru-guru bagaikan mak ayah, mendidik murid bagaikan anak sendiri, penuh dengan kasih sayang dan suri teladan. Di kampung-kampung, ketua kampung berperanan sebagai pendidik, di mukim dan daerah penghulu dan pegawai daerah juga berperanan sebagai pendidik dan menjadi suri teladan, begitulah seterusnya di dalam masyarakat umum di mana ketua negara, menteri-menteri dan wakil rakyat bersifat mendidik dan menjadi suri teladan kepada rakyat. Masyarakat begini siapa yang tak nak? Masyarakat yang berkasih sayang, yang ada rasa bersama dan bekerjasama. Mana kita nak cari ? Yang kita lihat hari ini, sebab nafsu manusia sudah jahat, ada yang sudah jadi harimau dan singa, ada yang sudah jadi ular dan beruang.

Dengan ayat yang pendek itu sudah cukup untuk membawa perubahan. Kalau dibaca dengan ikhlas dan dihayati, masyarakat akan jadi syurga. Untuk membersihkan nafsu, kita mesti merujuk kepada Allah kerana Dialah yang tahu selok-belok kejadian manusia. Dia yang menciptakan manusia, sudah pasti Dia apa sahaja masalah yang menimpa manusia, Dia ada cara untuk menyelesaikannya.

Maka jika berlakulah bencana, krisis dan malapetaka di dalam hidup manusia itu, rujuklah kembali kepada Allah, merintih dan berdoalah kepadaNya, bermuhasabah dan bermujahadahlah, insyaAlah akan selamatlah manusia itu dari rasa keluh kesah, kesedihan yang melampau, dan akan terbukalah jalan penyelesaian di dalam menangani musibah yang menimpa ke atas manusia itu.

SEKIAN

Wednesday, December 3, 2008

Mengapa Masyarakat Islam Tidak Dilihat Indah?

Islam adalah agama akidah, agama ibadah, akhlak dan peraturan
serta undang-undang hidup di dalam semua aspek kehidupan sama ada dari persoalan kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, perhubungan, kenegaraan, ketenteraan hinggalah alam sejagat.

Jika sekiranya Islam itu dapat difahami, dihayati dan diamalkan
keseluruhannya, akan dapat dilihat bahawa penganut-penganutnya
adalah manusia yang berakidah, beribadah, berakhlak, berdisiplin, cergas, aktif dan berhubung antara satu sama lain. Dari sini lahirlah manusia yang berukhwah, berpadu, maju, aman damai, bahagia dan harmoni.

Akan tetapi pada hari ini kita lihat umat Islam dan masyarakat umum amat kusut sekali, haru-biru, huru-hara, kelamkabut, tidak berakhlak dan tidak berdisiplin. Umat Islam tidak sehaluan, tidak sependapat dan tidak satu fikiran. Masing-masing ada tujuan-tujuan yang tersendiri, tidak seia-sekata dan tidak serentak menuju satu matlamat yang menjadi cita-cita
Islam. Bersimpang-siur antara satu sama lain. Tidak di satu barisan yang tersusun rapi seperti satu bangunan yang tersusun dan indah. Mereka bercelaru, satu ke hulu, satu ke hilir. Satu ke darat, satu ke baruh. Satu ke lurah, satu ke bukit. Satu ke timur dan satu ke barat. Akhirnya accident dan berembuk sesama sendiri. Akhirnya umat Islam yang rugi.

Ada yang kaya berfoya-foya, sombong, membuang masa dan
melakukan pembaziran. Hidup sendiri-sendiri. Ada yang miskin tidak sabar. Merungut sana, merungut sini. Mengeluh di sana, mengeluh di sini. Mereka kelihatan resah gelisah.

Yang berilmu hanya memikirkan diri. Dia mencari harta dengan ilmunya. Dia bergaul dengan masyarakat hanya di majlis-majlis rasmi. Hidup juga bersendirian.

Pemuda-pemudinya hidup tidak tentu hala dan tidak tahu
matlamat. Berkumpul membuang masa, bohsia, bohjan, melepak-lepak, sakit mata melihatnya.
Para pemerintah dan penguasa menggertak-gertak, membentak-bentak, mengugut-ugut dan menakut-nakutkan seolah-olah tenggelam punca. Tidak tahu bagaimana hendak mendidik rakyatnya.

Di dalam keluarga, masing-masing hendak lari keluar. Terutamanya
anak-anak. Mereka gelisah sahaja. Panas punggung duduk di rumah kerana di rumah tiada ketenangan dan tiada kebahagiaan.

Begitulah gambaran masyarakat Islam di seluruh dunia. Begitu kusut dan menyakitkan mata memandang. Kalau kita hendak membuat perbandingan, sepertilah kain buruk yang luntur warnanya, berculang-caling, bertompok-tompok, ada hitam, ada kelabu, ada merah, ada biru, ada kuning dan lain-lain warna kerana ditimpa berbagai-bagai hal. Keadaannya begitu
comot sekali. Sakit mata memandang dan perasaan hati
terasa jijik.

Atau dengan gambaran yang lain sebagai perbandingan, macam kita melihat di satu lembah yang busuk, becak, berlumpur, penuh sampah sarap yang berbagai-bagai warnanya. Baunya busuk, sangat jelik dilihat. Hati liar dibuatnya. Begitulah gambaran masyarakat umat Islam di seluruh dunia.
Mengapa terjadi demikian? Mengapa gambaran masyarakat Islam begitu buruk? Mengapa Islam itu begitu cantik tetapi penganutnya tidak cantik? Mengapa Islam itu indah sedangkan penganut-penganutnya sudah tidak indah lagi?

Terjadinya yang demikian itu adalah dari sebab-sebab seperti
berikut:

1. Sesetengah umat Islam di seluruh dunia, Islamnya tinggal akidah semata-mata. Ibadah sudah tidak dibuat lagi. Apatah lagi perkara-perkara selain ibadah, lebih-lebih lagi tidak mencerminkan ajaran Islam. Hiduplah cara mana mahu hidup. Buatlah apa yang terasa. Ikutlah siapa yang hendak diikut. Kadang-kadang dia pun tidak tahu apakah dia seorang muslim atau tidak. Cuma dia dengar-dengar bahawa dia adalah keturunan umat Islam. Maka dia pun mengaku orang Islam. Apa itu Islam, dia tidak tahu. Golongan ini masih ramai.

2. Ada segolongan umat Islam, agamanya hanya setakat akidah dan ibadah sahaja. Itu pun ibadahnya tidak mengikut ilmu yang tepat dan beribadah pun tidak konsisten. Kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak. Rasa hendak buat, dia beribadah. Rasa tidak mahu, berhenti dahulu. Atau waktu
terpaksa beribadah. Contohnya kerana ada majlis rasmi di masjid, kenalah bersembahyang. Selepas itu rehat pula. Kemudian apabila terasa hendak beribadah, buat pula. Di aspek-aspek yang lain, jangan cerita. Dia buatlah apa sahaja yang dia mahu. Ia tidak ada kena-mengena lagi dengan
Islam. Islam memang tidak ada hubung kait lagi dengan persoalan kehidupan. Golongan ini juga ramai.

3. Ada golongan pula di kalangan umat Islam, dia berakidah dan ibadahnya tetap dibuat, tidak pernah tinggal. Bagaimana pun, di sudut-sudut lain dia tidak ambil kira sangat, seperti di aspek makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan tempat kerja. Hal-hal itu, ikut Islamkah atau tidak, dia tidak
ambil pusing sangat. Jatuh kepada haram atau halal, dia tidak ambil kira. Akhlak juga tidak dijaga. Kalaupun ada yang sesuai dengan ajaran Islam bukan pula dirancang tapi hanya secara kebetulan sahaja. Kerana yang dia jaga sangat ialah akidah dan ibadah sahaja. Yang lain tidak dijaga.
Golongan ini agak ramai.

4. Satu golongan lagi, akidahnya bagus, ibadahnya juga agak bagus. Memang dia jaga. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal dijaga jangan sampai melanggar ajaran Islam. Begitu pun di sudut-sudut lain pula terabai. Dia tidak ambil kira sangat. Seperti tidak ambil kira tempat bekerja walaupun melanggar perintah Islam seperti pergaulan bebas lelaki dan
perempuan. Begitu juga akhlaknya tidak dijaga. Boleh sahaja mengumpat, mengata, menghina, hasad, pemarah, sombong, riyak, tamak, bakhil, memfitnah, mengadu domba dan lain-lain lagi. Golongan ini juga agak ramai.

5. Ada golongan yang akidahnya dijaga, ibadah tidak dicuaikandan akhlak boleh tahan dengan orang luar tetapi dengan anak isteri cuai. Di dalam keluarga tidak ada pendidikan formal atau tidak formal. Dengan anak isteri boleh buat lebih kurang, tidak ada perbincangan, tidak ada usrah, tidak ada
pengajian dan tidak ada mesyuarat sesama ahli keluarga.Dengan anak isteri marah-marah sahaja. Didikannya hanya setakat: kalau anak isteri buat salah, dia marah-marah. Dia anggap itulah didikan. Padahal itu adalah hukuman, bukan didikan. Suasana Islam tidak ada di dalam rumah tangga
dan hubungan renggang di antara keluarga. Padahal Islam itu selain bermula dari diri, ia juga bermula dari rumah tangga. Golongan ini juga agak ramai dan keadaan ini berlaku merata.

6. Ada golongan yang sangat menghayati Islam. Akidahnya dijaga, ibadahnya istiqamah dan bersungguh-sungguh. Halal haram di dalam semua hal sangat diambil berat. Akhlaknya dengan Tuhan atau dengan manusia sentiasa diambil berat. Kalau dia melakukan kesalahan atau tertinggal
amalan yang pernah dibuat walaupun sunat, dia sangat menyesal dan dia akan tampung dengan kebaikan. Dia akan tampung dengan sembahyang sunat, sedekah, denganmenolong orang dan lain-lain. Dengan anak isteri berjalan syariat Islam, sembahyang berjemaah bersama, ada program
membaca Al Quran, ada jadual kuliah dan perbincangan. Ibu dan ayah menjadi suri teladan, berkasih sayang sesama keluarga, bekerjasama di antara satu sama lain. Golongan ini sudah tidak ramai lagi. Mereka ini sudah dianggap orang ganjil dan pelik oleh masyarakat.

7. Golongan ini selain bersikap seperti golongan yang keenam, mereka sibuk memperjuangkan Islam. Islam itu diperjuangkan melalui ceramah-ceramah, nasihat-nasihat, tulisan-tulisan,membuat kebaikan di tengah masyarakat seperti selalu bersedekah, sering menolong orang susah dengan
berbagai-bagai cara, suka berkhidmat dengan masyarakat dan pantang mendengar orang susah, mesti ditolongnya.Dia menyedarkan masyarakat kepada Islam secara bilhalatau secara sikap, agar orang ramai faham bahawa begitulah caranya Islam itu. Golongan ini lebih-lebih lagi terlalu
sedikit. Macam antah dalam beras atau macam mencari
gagak putih.

Kalau secara rambang atau secara umum umat Islam seluruh dunia telah terbahagi kepada tujuh golongan. Itu belum kita perinci dan detailkan lagi. Bagaimanalah umat Islam hendak berkasih sayang? Bagaimanakah boleh bersatu padu? Senangkah hendak bertolong bantu? Mudahkah hendak seia-sekata? Mudahkah hendak berjuang di dalam satu barisan yang tersusun,
menuju satu haluan?

Kalau umat Islam seluruh dunia ini, sudah tidak sama dan tidak seirama dalam memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkan Islam, bolehkah umat Islam menjadi kuat dan berdaulat? Bolehkah lahir satu umat yang berakhlak dan berwibawa hingga dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia?

Kalau kehidupan umat Islam sudah begitu kusut seperti yang telah kita paparkan sebelum ini, dari manakah kita hendak bermula untuk memulihkannya semula? Bermula dari duit? Bermuladari hiburan? Bermula dari politik? Bermula dari ilmu?

Berjuang memulihkan semula masyarakat Islam yang begitu haru-biru itu mesti bermula daripada iman dan ilmu. Iman dan ilmu mesti dari didikan. Dari didikan baru datang penghayatan.Dari penghayatan baru datang cinta kepada Allah, Rasul danagama-Nya, atau baru datang takut kepada Allah Taala. Dari takut itu mereka melaksanakan. Dari melaksanakan, lahirlah
bangsa yang bertaqwa. Setelah bertaqwa barulah datang bantuan dan pembelaan dari Allah Taala. Setelah Allah Taala bela, barulah datang kekuatan, kedaulatan dan seterusnya kejayaan yang
diredhai-Nya.

Begitu pun, hendak melahirkan proses itu atau metodologi untuk ditempuh hingga sampai ke matlamatnya, mesti ada figure atau pemimpin yang beriman, berilmu, bertaqwa, berakhlak mulia, yang dihormati dan disegani, disayangi dan dipatuhi.

Kalau nilai peribadi pemimpin itu sama dengan nilai peribadi rakyat umum atau lebih rendah lagi, siapakah yang boleh terima? Siapakah yang boleh hormat? Siapakah yang akansayangi? Siapakah yang akan patuhi?

Kita semua boleh memberi jawapan. Sudah tentu perjuangan umat Islam tidak sampai ke mana. Kalau hendak memperjuangkan di satu aspek sahaja seperti membangun dan maju sahaja, mungkin boleh. Bagaimana pula di aspek iman, taqwa, akhlak, ketaatan dan kasih sayang?
Cukupkah dengan maju sahaja? Orang Barat sudah maju tetapi apa telah jadi kepada masyarakat mereka? Kita semua tahu keadaannya. Tidak perlulah saya sebutkan lagi. Apakah umat Islam mahu mengejar kemajuan sahaja seperti orang Barat lakukan. Masing-masing kita jawablah sendiri.

Dipetik....

Monday, November 17, 2008

"Mencari Spirit Yang Hilang"

Alhamdulillah ana baru je lepas dari peperangan dunia di bumi UTM pada minggu lepas. Moga-moga dengan usaha ana yang tidak seberapa ni dan juga tawakal ana pada-Nya memberikan hasil. Ana bermohon juga agar lectuerer ana dipermudahkan-Nya menanda kertas jawapan ana. InsyaAllah...

Dikesempatan ini mungkin ana ingin berkongsi dengan pembaca-pembaca blog ana. Baru-baru ini selepas sahaja dari peperangan dunia yang ana hadapi, ana sempat menonton movie “Sang Murabbi”. Suatu kisah benar yang mengenangkan semula seorang murabbi (Ust Rahmat Abdullah) yang begitu gigih dalam menjalankan dakwah dan tarbiyyah. Setiap peluang yang ada disampaikannya peringatan pada siapa sahaja dan dimana sahaja. Semua yang berada di sekelilingnya merupakan mad’unya. Halaqah atau usrah dijadikan medan untuk menyampaikan dakwah dan membentuk peribadi-peribadi muslim. Segala penyampaiannya menusuk kedalam jiwa, menaikkan semangat para pendakwah, mempengaruhi hati-hati yang gersangkan khabar-khabar islam sehinggakan seorang Presiden PKS menganggapnya sebagai bapa ruhiah. Begitulah beliau yang sangat disanjungi oleh setiap orang yang mengenalinya dan yang berada berdekatan dengannya. Pemergiannya ditangisi ramai kerana perginya seorang murabbi yang mungkin sukar dicari ganti.

Ana begitu kagum dengan pendirian tegas yang dinyatakan beliau bilamana isu-isu agama dipermainkan. Ana begitu teruja melihat method-method yang digunakan dalam mengajak manusia kepada islam. Ana mengajak para da’ie diluar sana untuk menonton movie ini. Sungguh patutlah beliau dijadikan contoh dalam kita menjalakan dakwah yang mana beliau telah memperaktik segala apa yang telah Nabi kita lakukan. Moga-moga juga ia menjadi peringatan dan pemangkin untuk kita terus berada dijalan dakwah.

Selamat menonton dan mengambil iktibar dari movie ini..

Thursday, November 13, 2008

Tombo Ati


Pada suatu ketika. Seorang pesakit datang kepada seorang yang arif, Sofyan r.a. pesakit itu bertanya kepadanya, “Ya Sofyan, aku ini menderita penyakit jauh dari Allah Ta’ala. Tolong beri aku ubat penyembuhnya, ya Sofyan..”


Sofyan r.a, ulama yang arif itu lalu berkata kepadanya, Ya saudaraku, hendaklah kau mengambil beberapa tangkai keikhlasan, daun-daun kesabaran, dan perahan kerendahan hati.Letakkan semuanya dalam wadah ketaqwaan, lalu tuangkan ke dalam cairan rasa takut, kemudian direbus bersama kewaspadaan dan kemudian ambil ramuan itu dengan tangan kejujuran, lalu minumlah dari gelas istighfar yang telah dicampur dengan air kesolehan. Sesudah itu jauhkanlah dirimu dari rakus dan tamak, insyaAllah dengan izin Allah Ta’ala, engkau akan sembuh dari penyakitmu itu.”


Sayyidina Ibrahim Al Khawash r.a berkata, “Penawar hati itu ada lima, yakni membaca Al-Qur’an dan merenunginya, mengosongkan perut (shaum), bangun (solat) malam, memohon pada waktu sahur, dan bergaul dengan para solehin”.

Friday, November 7, 2008

Carilah Cinta


Renungan


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 1~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Takutlah anda pada kebaikan manusia lebih banyak dari anda takuti pada kejahatan mereka. Kerana kebaikan mereka mengenai anda pada hati anda,sedangkan kejahatan mereka mengenai anda pada tubuh luaran anda. Kena anda pada badan adalah lebih baik dari anda kena pada hati. Sesungguhnya musuh di mana anda kembali kepada Allah dengan musuh itu adalah lebih baik dari seorang teman yang menghambat-hambat (menghalang) anda pada jalan Allah." -(Madah Syeikh Abul Hassan As-syazli r.a.)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 2~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Wahai manusia! Kamu mencintai tiga macam, padahal ketiga itu bukan milikmu. Satu, kamu mencintai dirimu, padahal diri itu milik hawa dan nafsu. Kedua, kamu mencintai rohmu, padahal nyawa itu milik Allah s.w.t. Ketiga, kamu mencintai hartamu, padahal harta itu milik ahli waris turun-temurun." (Madah ahli tasawuf, Abu Turab r.a)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 3~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Sesungguhnya engkau tidak sanggup memberi kelapangan kepada manusia dengan hartamu. Maka berilah kelapangan kepada mereka dengan kemanisan muka dan kebagusan akhlak!" (Hadis Rasulullah s.a.w.)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 4~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Kebagusan akhlak itu pada tiga perkara : Menjauhkan segala yang haram,mencari yang halal dan berbuat keluasan kepada keluarga." (Madah Saiyidina Ali r.a.)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 5~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Maka begitu pulalah perbuatan hina yang menjadi penyakit hati itu, ubatnya ialah: dengan lawannya. Maka penyakit kebodohan diubati dengan belajar.Penyakit kikir, diubati dengan kemurahan. Penyakit sombong dengan merendah hati. Dan penyakit rakus dengan menahan diri dengan rasa berat, dari sesuatu yang diingini." (Petikan dari kitab Ihya' Ulumiddin oleh Imam Ghazali)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 6~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada berkurang harta kerana sedekah, dan Allah tidak menambah pada seorang yang memaafkan melainkan kemuliaan. Dan tiada seorang yang bertawaduk (merendah diri)kerana Allah, melainkan dimuliakan oleh Allah." (Muslim)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 7~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Abu Thalib Al-Makki berkata: "Perut itu adalah rebab. Iaitu kayu yang berlubang, mempunyai tali-tali. Sesungguhnya bagus bunyinya, kerana ringan dan tipisnya. Dan kerana ia berlubang, tiada berisi penuh. Begitu pula rongga perut! Apabila ia kosong, nescaya adalah lebih manis untuk membaca Al-Quran, lebih lama untuk berdiri solat dan lebih mengurangkan tidur." Petikan dari kitab Ihya' Ulumiddin oleh Imam Ghazali)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Renungan 8~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t. menyukai orang yang tidak lekas marah, yang pemalu, yang merasa cukup, yang menjaga diri dari meminta, bapa keluarga, yang bertaqwa dan Allah marah orang yang keji perbuatannya, buruk lidahnya, suka meminta (mengemis) yang memaksa dan kurang cerdik." (Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dari Sa'ad) Ya Allah! KepadaMu jua kami memohon kelembutan hati untuk mudah menerima hidayahMu! Amin ya Rabbal-'alamin.

Jiwa-jiwa yang membara


“Hai mujahiduun seluruh dunia walau dimana sahaja anda berada, buanglah rasa takut didada kalian meskipun anda dalam keadaan sempit dan sedikit. Allah dan para malaikatNya pasti menolong dijalan yang tidak terduga-duga. Dan hai mujahiduun, tidak ada kemulaian dalam seorang muslim melainkan mati syahid dijalan Allah. Takbir! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar!

MasyaAllah, terdengar seruan yang dilaung-laungkan tersebut menghidupkan jiwa-jiwa yang benar-benar ingin memperjuangkan islam. Siapakah kita jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang berjihad dijalan Allah, memperjuangkan agamaNya?? Kata-kata tersebut betul-betul menusuk ke kalbu. Benar-benar ingin mencontohi mereka yang berjiwa besar seperti Imam Hasan Al-Banna, Syed Qutb, Musytafa Masyshur dan lain-lain.

Imam Hasan Al-Banna, dakwahnya hanya bermula dikedai kopi setelah begitu risau akan keadaan umat Islam semakin perit yang hanya sibuk dengan perkara-perkara khilaf dan berlakunya keruntuhan akhlak setelah kejatuhan Khilafah Othmaniyyah pada 1924. Begitu besar jiwanya untuk memperjuangkan semula khilafah islamiyyah yang mana pada ketika itu islam diibaratkan seperti anak ayam yang kehilangan ibu ayam. Hilangnya arah panduan, kesatuan dan kebersamaan. Dari itulah bermulanya serangan-serangan pemikiran (ghuzwatul fikr) yang dijalankan oleh musuh-musuh islam yahudi dan kristian.

Wahai pemuda-pemuda yang berjiwa islam, ayuh bangkitlah! Sedarlah dari tidurmu! Marilah kita sama-sama berjuang menegakkan islam. Biar dimanapun anda dicampakkan, anda ibarat cahaya yang menerangi kegelapan. Sentiasa berguna. Dan sentiasa mengambil segala peluang untuk mengajak manusia kejalan yang benar. Inilah tugas-tugas kita sebagai seorang muslim. Segala macam kesulitan, mehnah dan tribulasi dihadapi dengan penuh keyakinan pada janji-janji Allah. Tanpa mengenal lelah jemu kita sampaikan firman Tuhan pada siapapun yang mana ianya bukan milik ustaz atau ustazah. Kemana pun kita, benih-benih islam kita suburkan, tanah yang gersang kita sirami. Inilah pengorbanan yang perlu kita lakukan, dengan penuh keikhlasan untuk mendapat mahar ke syurga yang abadi. Kita perlu berhabis-habisan dalam berdakwah.


ALLAH MATLAMAT HIDUP KAMI

RASULULLAH IKUTAN KAMI

AL-QURAN PANDUAN HIDUP KAMI

MATI SYAHID DIJALAN ALLAH CITA-CITA TERTINGGI KAMI

TAKBIR!

ALLAHU AKHBAR!

ALLAHU AKHBAR!

ALLAHU AKHBAR!

Tuesday, October 21, 2008

Sepahit Madu...

Sepahit Madu

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan
suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi
lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi
rupa-rupanya…" Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?"
suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah
yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung
labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih
hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap
Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah
menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan
apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi
tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak
berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah
jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang
tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi
hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon
suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan
agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah
yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan
memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada
dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan
Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik
dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami
erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak
ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke
hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya
sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri
semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak
dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia
terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri â€" sama ada dia
menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri
dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri
sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri
perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah
pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang
dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia
meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat
terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat
baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan
yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang
tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut
mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan
oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin
tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam
gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa
Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar
berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia
yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan
gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang
menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu
dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah
Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke
arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri
dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri
kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding
dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak
hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg
berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari
Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan, " jawab Fikri.

***

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak
kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami)
kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan
perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara
yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada)
berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

[QS al-Taubah 9:24]

Wednesday, October 15, 2008

Lelaki Acuan Al-Quran


Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Seorang Lelaki Yang
Beriman,
Yang Hatinya Disaluti Rasa Taqwa Kepada Allah
SWT,

Yang Sentiasa Haus Dengan Ilmu,
Yang Sentiasa Dahaga Dengan Pahala,
Yang Solatnya Adalah Maruah Dirinya,
Yang Tidak Pernah Takut Berkata Benar,
Yang Tidak Pernah Gentar Untuk Melawan Nafsu,

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menjaga
Tuturkatanya,
Yang Tidak Bermegah Dengan Ilmu Yang
Dimilikinya,
Yang Tidak Bermegah Dengan Harta Dunia Yang
Dicarinya,
Yang Sentiasa Berbuat Kebaikan Kerana
Sifatnya,
Yang Pelindung Yang Mempunyai Ramai
Kawan,
Dan Tidak Mempunyai Musuh Yang
Bersifat Jembalang,

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang
Menghormati Ibubapanya,
Yang Sentiasa Berbakti Kepada Kedua Orang
Tua Dan Keluarga,
Yang Bakal Menjaga Keharmonian
Rumahtangga,
Yang Akan Mendidik Anak-Anak Dan Isteri
Mendalami Agama Islam,
Yang Mengamalkan Hidup Penuh
Kesederhanaan
Kerana Dunia Baginya Adalah Rumah Sementara
Menunggu Akhirat,

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Bersedia Untuk
Agamanya,
Yang Hidup Di Bawah Naungan Al-Quran Dan
Mencontohi Sifat Rasulullah SAW,
Yang Boleh Diajak Berbincang Dan berbicara,
Yang Sujudnya Penuh Kesyukuran Dengan
Rahmat Allah Ke Atasnya,

Lelaki Acuan Al-Quran Tidak Pernah
Membazirkan Masa,
Yang Matanya Kepenatan Kerana Kuat Membaca,
Yang Suaranya Lesu Kerana Penat Mengaji Dan
Berzikir,
Yang Tidurnya Lena Dengan Cahaya Keimanan,
Yang Bangun Subuhnya Penuh Dengan
Kecerdasan,
Kerana Sehari Lagi.....Usianya Bertambah Penuh
Kematangan

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Mengingati Mati,
Yang baginya Hidup Di Dunia Adalah Ladang
Akhirat,
Yang Mana Buah Kehidupan Itu Perlu Dibajai Dan
Dijaga Meneruskan,
Perjuangan Islam Sebelum Hari Kemudian,

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah,
Lelaki Yang Tidak Mudah Terpesona Dengan
Buaian Dunia Kerana Dia Mengimpikan Syurga,
Di Situlah Rumah Impiannya,
Bersama Wanita Acuan Al-Quran.



bersama kita berusaha membina generasi al-qur'an. :)

Monday, October 6, 2008

Kisah Cawan

Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan.

Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu," kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pe nah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara,

"Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, 'Belum !' Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum. Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ' Belum !' Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku" kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya.

Pengajaran:

Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi 'cantik'.

Jangan lupa bahawa cobaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat).

WAllahu a'lam

*Bukan sumber persendirian......

Berlalunya Ramadhan

Hari isnin, bermula semula kuliah setelah seminggu bercuti sempena hari raya aidilfitri yang mulia. Moga berlalunya ramadhan kali ni dirindui oleh setiap insan yang bergelar mukmin kerana bulan ini adalah bulan yang ditangisi pemergiannya oleh para sahabat. Di bulan inilah terdapatnya satu malam yang mana ia lebih baik dari seribu bulan iaitu Lailatul Qadar. Di bulan ini juga peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah dengan memperbanyakkan amal ibadah. Di bulan juga peluang untuk mentarbiyyah diri, mengislahkan diri untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Moga 3 fasa yang terdapat didalam bulan ini dimanfaatkan sepenuhnya iaitu awalnya fasa rahmat, moga kita mendapat segala rahmat yang diturunkan pada fasa pertama tersebut. Pertengahannya pula merupakan fasa pengampunan, moga dengan rahmat yang kita perolehi daripada Allah segala dosa-dosa kita yang lalu diampunkanNya. Kerana hanya dengan rahmatNya lah sama ada kita ditempatkan ditempat orang-orang yang beriman ataupun sebaliknya. Seterusnya dipengakhiran ramadhan ialah dijauhkan daripada api neraka, moga dengan pengampunan yang Allah kurniakan, kita dijauhkan daripada api nerakaNya. Begitulah perkaitan diantara 3 fasa ramadhan yang Allah sediakan bagi hamba-hambaNya yang betul-betul mengambil manfaat.

Kita doakan agar kita sentiasa istiqamah dengan amalan-amalan yang kita dah lakukan dan kita didik pada diri kita sepanjang bulan ramadhan yang mana dulunya kurang membaca al-quran tapi kali istiqamah membacanya. InsyaAllah.

Sekarang dah masuk hari ke-6 syawal. Satu lagi amalan yang mana bila kita lakukannya seumpama berpuasa sepanjang tahun iaitu puasa 6 di bulan syawal. Marilah kita sama-sama mengambil peluang yang telah Allah sediakan bagi umat Nabi Muhammad yang sangat beruntung ini. Nabi Musa sendiri menyatakan kalau diberikan peluang, baginda ingin menjadi umat Nabi Muhammad sewaktu Nabi kita diisrak dan mikrajkan. Kerana umat Nabi Muhammad diberikan dengan pelbagai kelebihan. Kita patut bersyukur menjadi umat yang beruntung ini. Moga-moga kita mengambil dan memanfaat segala peluang yang telah disediakan untuk kita. Allah tak memerlukan kita pun, tetapi kita insan yang lemah inilah yang memerlukanNya.

Rasanya cukuplah sekadar ini sahaja dulu coretan penulis. Maaf kalau ada kekurangan dan kelemahan dalam coretan kali ini. Semua yang yang buruk itu datang dari Allah atas kelemahan yang ada pada diri penulis dan segala yang baik itu datang dari Allah, moga-moga ia menjadi peringatan dan iktibar.

Sekian, wassalam..